Wali

Hamid Roslan

Artwork by Ifada Nisa

1.

Petang. Sebuah ruang tetamu. AHMAD sedang berduduk di atas sebuah kerusi. Di depannya terletak sebuah meja kopi. Ada tiga cawan. AHMAD sedang berminum daripada cawan yang di tengah-tengah, dan dia meniup air yang ditelah dituangkan di dalam cawan tersebut sebelum meminumnya.

AHMAD:  Siapa buat? Sedap. Tak manis. (pause) Makbi engkau suka sangat buat teh manis-manis bila Ayah pergi rumah dia. Lagi dia boleh cakap “kalau nak lagi gula, cakaplah.” Letak lagi gula buat apa? Kencing manis?

(AHMAD tersenyum. Dia minum teh.)

Ayah nampak Makbi kat cousin ayah punya wedding. Kat Simei. Hari Raya dah habis tapi semua orang suka sangat pakai baju kurung. Ayah nampak mak kau makan dengan makbi, tapi bila ayah nak cari dorang nak tegur sikit terus hilang.

(Dia minum teh.)

Engkau dah besar.

 

2.

Ruang dapur. ROSEMAH sedang berdiri depan tempat mencuci pinggan-mangkuk, tetapi kami hanya dapat melihat belakangnya. Daripada perspektif seorang ahli penonton, seolah-olah dia sedang membasuh sebuah cawan beberapa kali walaupun cawan itu sudah bersih.

ROSEMAH:  Aku dah cakap kan? Kita semua dah settle. Suami aku, bapa saudara engkau tu, boleh izinkan untuk kau. (pause) Aku dah pergi masjid. Ustaz cakap, ok, oleh kerana keadaan dah macam gini, situasi yang tidak elok, ok. Kita izinkan. Bapa engkau tak payah datang.

(Tiba-tiba terdengar bunyi cawan diretakkan.)

Engkau dah kenapa? Eh, kau ingatkan dia orang baik ke? Eh hari pertama dia bawa bapak engkau tu jumpa aku dengan arwah nenek kau tu aku dah tahu pun lah. Dia pakai mahal-mahal, berbual macam pandai sangat gitu pergi polytechnik. Tapi hutang banyak. Orang macam gini tak akan berubahlah.

 

3.

Bilik tidur. MURNI sedang duduk di tepi katil.

MURNI:  Aku tak tahu lah mana aku dapat tenaga nak buat itu semua . . . korang punya conteng dekat tembok, lantai dapur dah kembang sebab air dah masuk . . . barang-barang aku semua. Rumah itu lima bilik tapi aku satu orang sahaja tau. Dengan engkau lagi, abang kau lagi. Korang semua masih kecik. Aku macam gila gosok tembok itu nak keluarkan conteng. Yang aku tahu, rumah itu mesti jual. Aku terfikir mati-mati aku nak jual rumah itu.

Dia lah yang tolong aku gosok tembok sampai conteng-conteng korang itu hilang. Pack semua benda masuk kotak, benda bapak kau tu, hantar pada dia.

Dia dah banyak tolong kita tau.

Engkau nak cakap dengan dia, boleh. Pergi. Pergi keluar, pergi kedai kopi, pergi bus interchange engkau pergi minum kopi dengan dia. Tapi jangan bawa dia datang rumah aku.

 

4.

Dapur.

ROSEMAH:  Enam tahun. Aku tak tahu lah apa jadi. Mak engkau cakap—AKU TAK TAHU LAH. Dia cakap abang engkau angkat telefon. Lepas tu kasi dia. Mana dia tahu siapa, dia masih kecik. Mak kau nangis-nangis. Engkau masih dalam perut dia. (pause) Bila dia nak bersalin, aku dengan suami aku pergi bawa dia pergi hospital. Tapi divorce belum settle, kertas belum sign, so he is still your father lah.

Dia jerit. Dia jerit apabila mak engkau sedang bersalin. Mak kau itu dah sakit perit macam nak mati tapi ayah kau cakap—dia cakap—

(Tiba-tiba dia senyap. Macam tersilap cakap.)

(secara normal) Ini adalah perkahwinan engkau. Siapa engkau nak bawa, itu hak engkau.

Engkau dah besar.



5.

Bilik tidur.

MURNI:  Aku tak tahu kenapa aku nak kahwin bapak engkau. Kakak aku, arwah nenek engkau, semua tak suka dia. Tapi aku masih nak. Mungkin dia buat syirik. Aku tahu. Keluarga dia semua orang Jawa, mesti simpan benda-benda ini semua.

Bila bapak engkau ada . . . Aku tak tahu lah eh . . . tapi aku selalu rasa penat. Macam aku kat tempat lain badan aku tempat lain pula. Tak boleh focus.

Tapi aku ingat, aku ingat masa dia jatuhkan tiga kali talak aku tiba tiba rasa macam. Bebas. Macam tiba-tiba aku boleh berfikir untuk sendiri gitu.

Bulan lepas aku nampak dia. Sekarang dia kat luar. Dia datang nak ambil korang semua daripada aku.

 

6.

Ruang tetamu.

AHMAD:  Lain kali kita pergi interchange lah. Kopi. Ayah bayar.

(Dia senyum.)

Mak engkau dengan aku.

(Dia tidak tahu apa hendak cakap.)

Ini semua salah faham.

(Dia senyap.)

Kirim salam pada mak engkau.

Tamat.